Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif

Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama membangunkan portal Hub Data Belia sebagai sebuah platform one stop centre maklumat dan statistik pembangunan belia. Sepertimana sedia maklum, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) merupakan sebuah pusat penyelidikan nasional di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengkaji pelbagai aspek aliran dan pembangunan generasi muda dan kaitannya dengan perubahan yang berlaku di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Hasil-hasil penyelidikan dan data statistik yang dikumpulkan oleh IYRES dianalisa dan diterjemahkan kepada bentuk yang mudah difahami dan ditafsir bagi menjadi input dalam perancangan dan pembuatan keputusan. 

Selaras dengan kepentingan perancangan dan pelaksanaan program pembangunan belia berpacukan data, maka IYRES telah mengambil insiatif untuk mewujudkan Hub Data Belia iaitu satu gerbang maklumat utama mengandungi empat (4) sistem iaitu Hub Statistik (sistem Ydata@IYRES), Hub Profil Belia (Sistem Profil Belia Negara), Hub Pemantauan (Sistem e-MYInd) dan Hub Analitik (sistem data science dan data analytics). Gerbang ini dibangunkan bagi memudahkan capaian maklumat dalam kalangan pemegang taruh pembangunan belia melalui satu platform yang berfokus secara percuma. 

Portal ini juga terhasil melalui  konsep “merentas pelaksana”  yang diutarakan dalam Dasar Belia Malaysia 2015-2035 dalam pembangunan belia di Malaysia iaitu dengan memastikan pembangunan belia di negara ini adalah secara bersama berdasarkan fungsi dan keupayaan setiap pelaksana. Selain itu, kewujudan portal ini dapat menyokong inisiatif pendigitalan ke arah meningkatkan lagi kecekapan penyampaian maklumat kepada pemegang taruh pembangunan belia. IYRES juga dalam tempoh masa dua tahun ini akan menambahbaik dengan menjadikan Hub Data Belia sebagai sistem single sign-on yang boleh diakses oleh pelbagai pihak berhubung data-data belia. 

Akhir kata, semoga platform ini membantu meningkatkan akses dan menjimatkan sumber untuk memperolehi maklumat yang tepat, sahih dan terkini. IYRES akan terus komited dalam menyumbang khidmat dan kepakaran selaras dengan visi IYRES sebagai Peneraju Penyelidikan Pembangunan Belia dan Pusat Rujukan Data Belia Menjelang 2035.

Salam Hormat

Dr. Vellapandian Ponnusamy
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)

Hyperlink

Media Sosial

Bilangan Pengunjung

Tarikh Kemaskini: 05 Feb 2023