Selaras dengan hasrat kerajaan dalam memastikan segala perancangan serta responsif terhadap keperluan semasa perlu berpandukan kepada data serta maklumat tepat dan terkini. Pemahaman dan perancangan berdasarkan kepada data sangat penting supaya aktiviti dan pelaksanaan yang dibuat lebih tepat dan bukan berdasarkan kepada persepsi atau andaian “shot in the dark”. Oleh itu, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah menyahut hasrat tersebut dengan mengambil inisiatif membangunkan hub data belia bagi tujuan pengumpulan data secara berpusat berkaitan pembangunan belia di Malaysia. Inisiatif ini dilaksanakan oleh IYRES sejajar dengan bidang tanggungjawab yang telah digariskan oleh Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035 di mana IYRES bertindak sebagai focal point kepada penyelidikan dan statistik berkaitan belia di Malaysia.
Hub Data Belia merupakan satu platform yang menggabungkan proses pengumpulan, penganalisian, analitikal, visualisasi serta pemantauan berkaitan data, aktiviti dan program pembangunan belia di Malaysia. Terdapat 4 Komponen utama di bawah Hub Data Belia iaitu Hub Profil ( Sistem e-Belia), Hub Statistik (sistem Ydata@IYRES), Hub Pemantauan Program (Sistem eMYInd) dan Hub Analitik. Kesemua hub data ini diwujudkan sebagai platform penyaluran data kepada pemegang taruh belia bagi meningkatkan kecekapan dalam membuat keputusan dan pelaksanaan aktiviti berdasarkan data-data berkaitan belia yang sah dan reliable. Ianya juga sejajar dengan konsep merentas pelaksana dan merentas generasi yang akan memudahkan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan belia untuk bekerjasama dengan pengintegrasian dan perkongsian sumber data belia yang lebih sistematik.
Selain itu melalui pembangunan hub data ini dapat membantu pemegang taruh belia memahami senario dan persekitaran belia bagi memandu dalam merancang dan melaksanakan program yang tepat, terarah sekaligus memberi impak yang positif terhadap lanskap pembangunan belia di Malaysia .
Hub Profil Belia : Pengumpulan data belia melalui Sistem eBelia.
Profil Belia Negara ini dikenali sebagai Sistem eBelia bagi tujuan mewujudkan profil belia Malaysia yang lengkap, maklumat profil belia Malaysia amatlah penting kepada pemegang taruh pembangunan belia bagi merangka pelbagai inisiatif pembangunan belia negara. Lantaran itu, Sistem eBelia ini membantu memudahkan proses pengumpulan data-data profil belia yang diselaraskan secara berpusat di IYRES. Kaedah pendaftaran ebelia secara sukarela di atas talian, iaitu melalui pautan ebelia.iyres.gov.my.
Sehingga kini, seramai 387,474 belia (15-40 tahun) telah mendaftar di dalam sistem ini. Belia yang mendaftar akan menerima pelbagai manfaat antaranya menjadi kumpulan terawal mengetahui makluman aktiviti semasa yang dianjurkan oleh KBS serta agensi yang berkaitan, berpeluang menerima jemputan menyertai program-program anjuran KBS. Selain itu, belia yang telah berdaftar di dalam sistem ini juga berpeluang untuk memberi input dan pandangan berkaitan isu-isu pembangunan belia yang diselaraskan oleh IYRES melalui kajian-kajian yang dilaksanakan secara atas talian menggunakan Sistem Online Survey IYRES. Pastinya input dan maklum balas golongan belia mengenai isu-isu pembangunan belia amat bermakna kepada pemegangtaruh pembangunan belia untuk merangka aktiviti/program secara “in-situ Approach” yang menepati keperluan serta minat golongan muda.
Di bawah hub profil belia, IYRES turut memperkenalkan IYRES Community Enumerator (ICE) dimana belia yang mendaftar akan berpeluang menjalankan aktiviti penyelidikan secara empirikal di pelbagai peringkat. Antara perkhidmatan yang ditawarkan dalam projek ICE ini ialah enumerator (Pembanci), Pengekod data (Data Entry) dan Transcriber. Sehingga kini, seramai 70,238 belia (18-40 tahun) telah mendaftar sebagai ICE yang melibatkan penglibatan di seluruh Malaysia. Melalui projek ini juga belia diberi pendedahan mengenai penyelidikan sosial, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan komuniti setempat, mencipta peluang pekerjaan dalam meningkatkan sumber ekonomi mereka serta membentuk potensi diri sebagai pelapis penyelidik berkarisma dalam pelbagai aspek.
Pengkongsian data belia melalui SistemYData@IYRES
Hub Statistik : Sistem YData@IYRES merupakan sebuah platform yang menempatkan semua data statistik berkaitan belia melalui kerjasama daripada pemegang taruh pembangunan belia. Data-data yang dikumpulkan ini dibekalkan daripada pelbagai sumber terdiri daripada lain-lain kementerian, jabatan dan agensi yang telah dilantik menjadi focal point. Sehingga kini sistem ini mengandungi 240 data meliputi 17 kluster iaitu Penduduk, Pendidikan & Kemahiran, kelab & Persatuan, Kesihatan, Sukarelawan, Gejala Sosial, Sukan & Rekreasi, Pengantarabangsaan, Kepimpinan, Media & Teknologi, Sosialisasi Politik, Pembangunan Belia Positif, ekonomi, Guna Tenaga, Fasiliti, Covid-19 dan Industri Sukan.
Keistimewaan hub statistik ini adalah bercirikan Technology Business Intelligence kerana spesifikasi utama yang diambil kira adalah untuk menjana laporan-laporan statistik yang berbentuk Data Visualization yang dapat memudahkan para pengguna untuk memahami dan menggunakan data-data yang disediakan dengan lebih mudah dan berkesan. Ianya boleh diakses oleh pengguna awam melalui capaian ydata.iyres.gov.my dan melalui peranti mudah alih di aplikasi Google Play Store dan Apple App Store.
Hub pemantauan program dan aktiviti belia secara bersepadu melalui Sistem eMYInd.
IYRES telah mengambil inisiatif untuk membangunkan Sistem eMYInd iaitu satu sistem bersepadu Malaysian Youth Index yang merekodkan maklumat aktiviti dan program pembangunan belia merentas agensi pelaksana. Idea ini diperolehi berdasarkan konsep ‘bank’ yang menyimpan data pembangunan belia secara bersepadu. eMYInd mampu menjana statistik pelaporan secara dinamik yang boleh menjadi rujukan keberkesanan program-program pembangunan belia. Sistem dibangun selari dengan spirit Dasar Belia Malaysia 2015-2035 yang menekankan konsep “merentas pelaksana” dalam pembangunan belia. Konsep merentas pelaksana memastikan pembangunan belia di negara ini adalah secara bersama berdasarkan fungsi dan keupayaan setiap pelaksana.
Kewujudan Sistem eMYInd ini dapat membantu dalam pengurusan maklumat program dan aktiviti yang lebih teratur dan sistematik. Selain itu, ia juga dapat memudahkan pemantauan status pelaksanaan dan pencapaian program dan aktiviti di pelbagai peringkat pelaksana sehingga ke peringkat daerah. IYRES telah melaksanakan aktiviti penyebarluasan penggunaan Sistem eMYInd khususnya kepada 10 kumpulan pelaksana pembangunan belia iaitu merentas kementerian, jabatan, kerajaan negeri, badan korporat, agensi kerajaan dan swasta, NGO’s di seluruh Malaysia bagi memastikan sistem ini dimanfaatkan penggunaannya secara optimum. Sistem eMYInd ini boleh diakses oleh ahli tetap focal point yang telah dilantik melalui capaian emyind.iyres.gov.my. Sehingga kini, sebanyak 3,922 program dan 5,965 aktiviti telah direkodkan ke dalam sistem eMYInd oleh 1,053 focal point yang terdiri daripada kementerian, jabatan, kerajaan negeri, badan korporat, agensi kerajaan dan swasta, NGO’s.
Sistem ini diharapkan dapat menjadi platform utama bagi mengumpul maklumat projek/program/aktiviti pembangunan belia dalam pangkalan data yang berpusat merentasi agensi pelaksanan di seluruh Malaysia. Sistem ini juga diharapkan dapat membantu pemegang taruh belia memantau keberkesanan impak program secara menyeluruh sekaligus menjadi salah satu mekanisme dalam pemantauan tahap kualiti dan kesejahteraan hidup belia di Malaysia.
Memperkukuh data raya belia melalui Hub Analitik
IYRES sebagai focal point data belia telah diberi kepercayaan untuk bertindak dalam menyelaraskan keperluan data raya (data Analitik) di peringkat KBS. Hub Analitik telah dibangunkan untuk tujuan analitis bagi menghasilkan visualisasi dan aplikasi yang bermanfaat bagi membantu dalam membuat keputusan dan perancangan yang lebih tepat berpacukan analitik, modelling dan futuristic analysis.
Sebanyak 6 kluster telah dikenalpasti untuk dilaksanakan berdasarkan kepada fungsi utama (Core Business) di peringkat KBS iaitu kluster Belia, Sukan, Kemahiran, Persatuan, Kemudahan dan Perkhidmatan Sokongan. Data analitik yang dibangunkan ini merupakan antara “tool” yang terpenting dalam salah satu usaha merancang dan menjangkakan keperluan-keperluan sesebuah kementerian khususnya di peringkat KBS.
Harapan
Harapan agar pembangunan Hub data ini dapat membantu belia, pemegang taruh pembangunan belia, serta masyarakat secara am ke arah penggunaan data yang berintegriti serta pembangunan belia yang holistik dan tersusun. Apa yang lebih penting manfaat daripada penggunaan hub data ini mampu mendokong ekosistem pendayaupayaan belia dalam menyerlahkan potensi dan karakter positif belia sekaligus mencapai agenda pembangunan belia sepertimana yang diharapkan.
Tarikh Kemaskini: 05 Feb 2023